Kajian Barat Membuktikan Kebaikan Puasa


Menurut Dr Ben Kim, pengamal perubatan berasaskan herba dari Kanada, berpuasa untuk tujuan perubatan sudah lama diamalkan. Malah, ahli falsafah terkenal seperti Socrates dan Plato juga mencadangkan puasa untuk tujuan memulih dan meningkatkan kesihatan badan. Mahatma Gandhi sendiri dikatakan berpuasa selama 21 hari sebagai usaha meningkatkan rasa hormat antara warga berlainan agama di India. Kajian terhadap ilmu fisiologi mendapati amalan berpuasa mempunyai kuasa pemulihan yang hebat, kesan daripada aktiviti berpuasa tadi.

Elson Haas seorang doktor kesihatan dalam bukunya bertajuk "Tetap sihat dengan Nutrisi: Panduan Lengkap untuk Diet dan Perubatan Nutrisi" menyatakan bahawa berpuasa adalah antara terapi semula jadi yang terhebat. Haas juga percaya berpuasa adalah satu kaedah bukan hanya untuk terapi diri, malah untuk masalah perubatan yang lain serta merangkumi masalah kehidupan lebih kompleks.

Turut dinyatakan kebaikan berpuasa adalah untuk detoksifikasi atau penyahtoksin. Pembersihan diri ini adalah satu daripada trilogi nutrisi amat penting terhadap badan manusia, selain menyeimbangkan keperluan dalam badan dan membina badan sihat. Haas percaya berpuasa adalah satu daripada ‘hubungan yang hilang’ dalam diet masyarakat Barat.

Menariknya, berpuasa yang disarankan doktor perubatan di Barat mempunyai persamaan dengan apa yang diamalkan umat Islam. Misalnya, antara saranan berpuasa untuk kesihatan adalah menjalankan puasa dalam tempoh singkat untuk membantu membersihkan dalaman badan.Puasa singkat yang dilakukan dalam beberapa bulan setahun membantu membersihkan dalaman badan.

Perbezaannya ialah puasa bentuk moden yang dicadangkan, mencadangkan puasa dimulakan selama 24 jam, kemudian dikurangkan secara berperingkat-peringkat. Menurut Dr Ben Kim, jangka waktu berpuasa adalah bebas, tetapi bergantung kepada matlamat masing-masing.Misalnya, jika kita bermatlamat untuk pulih daripada sakit akut, maka kita boleh berpuasa sehingga berasakan cukup sihat untuk makan semula. Untuk sakit kronik pula, jangka masa berpuasa ditentukan oleh kemajuan puasa itu sendiri. Ini memandangkan proses pembaikan diri dalam tempoh ini boleh dijangka.

Ketika berpuasa, tahap kolesterol dan asid urik dalam darah akan meningkat, namun selepas berpuasa tahap ini akan menurun yang menunjukkan sistem badan semakin bersih.

Selain itu, ada juga kajian yang menyarankan puasa daripada segala bentuk makanan, tetapi amalkan minum jus buah-buahan saja. Puasa bentuk ini dikatakan dapat menyahtoksin badan, selain baik untuk mengurangkan berat badan.Namun, perbezaan ini menjadikan ibadat berpuasa oleh umat Islam semakin unik.

Lebih menarik, kajian perubatan Barat juga menunjukkan ada jenis penyakit yang boleh dikurangkan menerusi amalan berpuasa. Misalnya, demam, bronkitis, sakit kepala, sembelit, sakit perut, alergi terhadap sesetengah makanan, asma, insomnia, masalah kulit, kencing manis, keletihan, kegemukan, kanser dan sawan babi (epilepsi).

Manfaat puasa pula berdasarkan banyak kajian mencakupi meningkatkan tenaga, memperbaiki tidur, rasa lebih tenang, merehatkan sistem pencernaan, mengurangkan kesan penuaan, memperbaiki penglihatan dan pancaindera, memperbaiki pendengaran, meningkatkan kreativiti, serta penyahtoksin yang membawa kepada perubahan sikap kepada yang lebih baik kerana kurangnya toksin dalam badan.



Siti Suriani Othman
Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia
http//husain386.blogspot.com




Photobucket