Tiada Tempoh Tetap Guru di Pedalaman



KUALA LUMPUR 2 Dis. - Kementerian Pendidikan tidak menetapkan sebarang tempoh tertentu bagi guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman. Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, pertukaran guru pedalaman ke kawasan lain bergantung pada tanggungjawab, hak dan inisiatif guru berkenaan untuk membuat permohonan.

"Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang berkhidmat di kawasan pedalaman menikmati beberapa keistimewaan iaitu elaun khas mengikut lokasi dan tahap kesusahan atau bayaran insentif pedalaman, bayaran insentif tetap perumahan dan elaun balik kampung."

"Insentif berkenaan bertujuan menampung hidup di kawasan pedalaman dan Kementerian Pendidikan sudah menjalankan kajian mengenai impak serta penambahbaikan elaun sedia ada," katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini."

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) yang bertanyakan sama ada Kementerian Pendidikan menetapkan tempoh khidmat guru di kawasan pedalaman atau tidak.

Dalam soalan asal, Ikmal Hisham bertanyakan sama ada kementerian berhasrat memberi lebih banyak keistimewaan kepada guru yang bersedia berkhidmat di kawasan pedalaman.

Menurut Mary Yap, guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman turut dilantik sebagai guru cemerlang dan diberi peluang pembangunan kerjaya melalui penyertaan dalam forum dan seminar.

"Selain itu, majoriti guru di kawasan pedalaman berkhidmat di kawasan kaum masing-masing sebagai contoh majoriti guru Iban berada di Sekolah Kebangsaan Ulu Lubai, Sarawak dan majoriti guru di Semporna adalah kaum Bajau"

"Kaum lain turut dihantar berkhidmat ke kawasan pedalaman kerana dasar Kementerian Pendidikan ialah menggalakkan integrasi nasional," katanya.



Copy paste dari UtusanOnline
http://utusan.com.my/utusan/Parlimen/20131203/pa_02/Tiada-tempoh-tetap-guru-pedalaman#ixzz2mPKMVtSq