Tarikh Pengumuman Penambahbaikkan PBS




KAJANG, 16 Mac (Bernama) -- Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan kajian bagi penambahbaikan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang ditangguhkan pelaksanaannya akan diumumkan pada Selasa ini.

Timbalan Perdana Menteri ketika memaklumkan perkara itu berkata antara perubahan yang diputuskan ialah guru tidak perlu lagi memasukkan data maklumat pencapaian murid secara dalam talian ke dalam sistem PBS seperti sebelum ini.

Beliau, yang juga Menteri Pendidikan berkata penambahbaikan hasil bengkel melibatkan kira-kira 1,000 guru juga mencadangkan para guru tidak perlu lagi menyertakan eviden dan hanya menyimpan data secara 'offline'.

"Data hanya perlu dikemukakan apabila ibu bapa perlu melihatnya. Perincian lanjut akan diumumkan pada 18 Mac ini," katanya ketika berucap pada Program Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti di Sekolah Menengah Kebangsan Tinggi, di sini, Ahad.

Keputusan penangguhan pelaksanaan PBS telah diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof pada 23 Feb lepas untuk memberi ruang kepada satu kajian bagi penambahbaikan diadakan.

Ini bermakna guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan PBS sehingga kenyataan mengenainya dibuat Kementerian Pendidikan kelak.

Muhyiddin berkata walaupun ada guru memaklumkan PBS adalah satu sistem yang baik dan harus diteruskan, kementerian mengambil pendirian menyeluruh dan menangguhkan pelaksanaannya untuk kebaikan bersama.

Beliau berkata kementerian memahami rungutan dan masalah yang dihadapi para guru, malah peka dengan kesulitan suami jika isterinya seorang guru yang marah dan mendakwa pelaksanaan PBS menyebabkan masa bersama keluarga terhad.

"Sebab itu kita tangguh seketika bagi ditambah baik...saya juga faham guru mesti mengajar, bukan hanya memasukkan data," katanya merujuk kepada keperluan guru memasukkan data secara online sebelum ini.

-- BERNAMA