Status Terkini PBS @ PPMR @ Penambaikan PMR

 
Peningkatan perbuatan ponteng sekolah dan sikap tidak acuh di kalangan pelajar sekolah ketika mengikuti pembelajaran di sekolah adalah antara alasan mengapa kesatuan guru kebangsaan mahu sistem penilaian baharu pelajar dimansuhkan.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendakwa tidak ada seorang pun daripada 180,000 ahlinya di seluruh negara yang mendapati Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) mempunyai ciri positif sejak ia dimulakan tiga tahun lalu.

Presiden NUTP, Hashim Adnan, berkata PBS terlalu asing bagi budaya pendidikan pelajar Malaysia yang suka jika perkembangan mereka diukur dengan pencapaian A, B dan C.

Pendirian kesatuan itu dijangka menambah tekanan kepada Putrajaya yang membuat keputusan untuk menyemak semula sistem itu, yang dilaksanakan kepada pelajar tingkatan satu dan dua serta murid darjah satu.

Keputusan Putrajaya untuk menyemak semula sistem itu dibuat selepas menerima tekanan daripada kumpulan guru, Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) yang dikatakan akan mengadakan bantahan pada 22 Februari untuk mendesak PBS dimansuhkan.

Walaupun NUTP tidak bersetuju dengan rancangan SGMM, Hashim berkata, desakan mereka adalah sama.

“Dengan PBS, tidak ada makna lagi untuk ke sekolah,” katanya merujuk kepada PBS yang tidak merangkumi peperiksaan tahunan tetapi lebih kepada penilaian harian.

Beliau berkata, pada asasnya pelajar dinilai menerusi penilaian harian, sama ada mereka lulus atau gagal sesuatu mata pelajaran berdasarkan kepada spectrum enam band. Ia bermula daripada band satu “faham” (paling bawah) kepada band enam (paling tinggi).

Hashim berkata, pelajar yang mendapat band satu dianggap lulus tetapi tidak secemerlang pelajar yang memperolehi band enam.

Ini berbeza daripada sistem penggredan hirarki yang lama iaitu pencapaian pelajar A hingga F dipisahkan berdasarkan kepada siapa cemerlang dalam mata pelajaran tertentu.

“Pelajar kita masih mahu berusaha untuk mendapat markah 90% atau 95%. Apabila mereka tidak diberi peluang, mereka rasa apa gunanya belajar? Apa beza antara saya dengan budak lain?

“Guru pula kemudian berdepan dengan masalah untuk memotivasikan pelajar untuk memberi tumpuan dalam kelas kerana pelajar mudah bosan.

“Pelajar juga tidak peduli untuk datang ke kelas kerana mereka rasa tidak perlu diberi gred,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Pada Selasa, Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa kementerian menyemak semula PBS susulan daripada lambakan aduan yang diterima daripada guru.

PBS dilaksanakan –ada 2011 bermula dengan pelajar tingkatan satu. Ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menghasilkan pelajar yang lebih holistik, bukan sekadar cemerlang dalam pelajaran.

Ramai guru mengadu mengenai kekaburan sistem gred enam band itu dan keperluan mengisi data penilaian pelajar setiap hari ke dalam sistem komputer berpusat.

Kesesakan dalam jaringan komputer berpusat itu menyebabkan guru terpaksa bangun awal dinihari untuk memasukkan data pelajar iaitu ketika ia tidak sesak.

“Jika seorang guru mempunyai 160 pelajar, maka penilaian 160 individu perlu dibuat setiap hari,” katanya.

Terdahulu, SGMM mendakwa kelemahan dalam sistem PBS di Malaysian menyebabkan banyak sekolah berpatah balik kepada sistem peperiksaan tahunan untuk menjejak pencapaian pelajar.

SGMM mahu sistem itu dimansuhkan sebelum ia dilaksanakan kepada pelajar tingkatan tiga tahun ini yang akan menduduki peperiksaan penting Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Mereka bimbang kelemahan dalam pelaksanaannya dan keseluruhan kekeliruan di kalangan majoriti guru dan pentadbir sekolah mengenai kaedah melaksanakan PBS akan memberi kesan kepada PMR pelajar tingkatan tiga.

Hashim berkata, penekanan kepada sekolah secara individu untuk menaksir pelajar sendiri bertentangan dengan pemeriksa luar seperti dalam kes sistem lama, dan ini akan membuka kepada ruang untuk memanipulasi keputusan PMR.

“Setakat ini, tidak ada garis panduan daripada kementerian untuk jawapan standard dalam PMR.

“Tidak ada guru atau sekolah mahu sekolah mereka dilihat sebagai ketinggalan. Jadi, apabila tiba masa peperiksaan, apa yang boleh menghalang mereka daripada meluluskan semua pelajar?

“Memandangkan guru mengawal penilaian dan pentaksiran, mereka boleh memberitahu pelajar apa soalan yang akan ditanya dalam peperiksaan,” katanya. – 13 Februari, 2014.


Sumber:
NUTP: Wujud ‘tiada makna di sekolah’ di bawah PBS
OLEH SHERIDAN MAHAVERA (themalaysianinsider)
FEBRUARY 13, 2014


p/s: Saya pun dah makin keliru dengan PBS ni.  Dah la tiada contoh soalan pentaksiran pusat, khabar angin banyak sangat. Nak terangkan PBS pada murid pun tak berani sebab tak ada penjelasan yang lengkap dan konkrit.