Apakah Ujian TIMSS dan PISA?







UPSR, PMR, SPM, STPM dan STAM adalah peperiksaan awam yang paling utama di Malaysia. Selain itu, terdapat juga ujian lain yang diduduki oleh pelajar di negara ini seperti TIMSS dan PISA.  TIMSS dan PISA sebenarnya bukan ujian tetapi adalah suatu kajian tentang pendidikan sesebuah negara. TIMSS dan PISA adalah satu kajian yang dijalankan oleh organisasi antarabangsa untuk menilai dan membandingkan kualiti pendidikan sesebuah negara. Kajian ini juga membantu negara-negara di seluruh dunia untuk meningkatkan pembelajaran dalam Sains dan Matematik.


Di Malaysia, TIMSS dan PISA hanya melibatkan pelajar Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 daripada beberapa buah sekolah yang dipilih secara rawak. Pelajar yang dipilih untuk menduduki ujian ini terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuk pelajar paling cemerlang hingga dan pelajar paling corot. Ujian TIMSS dan PISA tidak begitu disedari umum kerana ia dijalankan empat tahun sekali dan hanya melibatkan mata pelajaran Sains, Matematik dan pengetahuan am berdasarkan pembacaan.


Bagaimanapun, mulai hujung tahun 2012, Kementerian Pelajaran Malaysia  memberi penekanan yang lebih kuat  kepada TIMMS dan PISA. Ujian TIMMS akan dijalankan pada tahun 2014 manakala ujian PISA akan dijalankan pada tahun 2015. Sebelum ujian (kajian) sebenar dijalankan, mungkin beberapa sekolah  terpilih akan menjawab ujian mirip TIMMS dan PISA. Kajian ini akan dijalankan oleh Bahagian Perkembangan Kurikulum (BPK).  Soalan TIMSS dan PISA adalah soalan High Order Thinking Skills (HOTS). Oleh itu, semua guru didedahkan dengan Taksonomi Bloom (revised) dan soalan-soalan HOTs. Guru-guru Sains dan Matematik diberi pendedahan tentang contoh soalan TIMSS dan PISA.


TIMSS merujuk kepada Trends in Mathematics and Science Study.  Sampel kajian TIMSS melibatkan pelajar Tingkatan 2 (Gred 8).Kajian ini dijalankan oleh International Association for the Evaluation of Educational Achievement (IEA). Negara kita telah menyertai TIMSS  sebanyak 4 kali iaitu pada tahun 1999, 2003, 2007 dan 2011. Keputusan kajian TIMSS pada tahun 2011 menunjukkan penurunan prestasi Matematik dan Sains mendadak sepanjang empat kali penilaian daripada tahun 1999. Pada tahun 1999, Malaysia menduduki tempat ke-16 daripada 38 negara yang mengambil bahagian dalam TIMSS untuk matematik. Kedudukan Malaysia meningkat ke tempat ke-10 daripada 50 negara pada tahun 2003, tetapi merosot jatuh ke kedudukan ke-20 daripada 49 negara pada tahun 2007.

Bagi mata pelajaran Sains pula, Malaysia menduduki tempat ke-22 daripada 38 negara pada tahun 1999. Kedudukan Malaysia meningkat ke kedudukan ke-20 daripada 50 negara pada tahun 2003 tetapi merosot satu tempat ke kedudukan ke-21 daripada 49 negara pada tahun 2007. Daripada prestasi yang diperolehi ternyata pelajar kita belum bersedia menghadapi peperiksaan tersebut kerana bentuk soalan dan tajuk yang diberikan adalah soalan berbentuk HOTS.


PISA merujuk kepada Programme for International Student Assessment. PISA dikelola oleh Organization for Economic Cooperation and Development (OECD), sebuat organisasi dibawah NCES dan berpusat di US. Sampel kajian PISA melibatkan pelajar Tingkatan 3 (15 tahun). Kedudukan Malaysia adalah di tangga 55 daripada 74 buah negara dengan mata 404. Purata mata bagi semua negara yang terlibat dalam kajian ini ialah 458. Negara China mendapat 600 mata, Singapura 562 mata, Hong Kong 555 mata dan Korea 546 mata.


Pendedahan soalan HOTs kepada pelajar akan menghasilkan modal insan yang cerdas, kreatif dan inovatif bagi memenuhi cabaran abad ke-21. Selain itu,  pendedahan soalan HOTs secera tidak langsung memberi  pendedahan kepada TIMSS dan PISA.