Kenapa Bakal Guru Perlu Ujian MEdSI?

MEdSI [Malaysian Educators Selection Inventory] adalah Ujian Inventori Pemilihan Pendidik Malaysia. Ujian ini dijalankan untuk memilih bakal guru yang bakal melanjutkan pelajaran Program Pengajian Pendidikan Lepasan STPM/Setaraf di Institut Pengajian Tinggi Awam.

Menurut Holland (1998), keselarasan antara ciri-ciri guru dengan sesuatu kerjaya adalah penentu kepada motivasi, kepuasan kerja, pencapaian, produktiviti dan stabiliti dalam kerjaya. Menurut Parson (1908, dalam Sidek Mohd Noah, 2005), pemilihan kerjaya yang baik adalah seakan-akan sama dengan memadankan pasak bulat ke dalam lubang bulat atau pasak empat segi ke dalam lubang empat segi. Ini bermakna, terdapat keperluan untuk menentukan "individu yang betul untuk kerja yang betul" diberi perhatian sewajarnya dalam pemilihan calon guru.

Berdasarkan matlamat ini serta parameter penting kriteria pemilihan guru iaitu personaliti, minat, pencapaian, nilai integriti, dan kecerdasan emosi. Malaysian Educators Selection Inventory (MEdSI) digunakan untuk tujuan itu.




Majlis Peperiksaan Malaysia mengendalikan Ujian MEdSI dan memilih calon yang layak menduduki ujian MEdSI ditentukan oleh Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia


Bentuk soalan:  psikometrik. 
Jumlah soalan: 300 item.
Masa menjawab: 1 jam.



Instrumen MEdSI mengandungi 300 item dalam empat bahagian iaitu:

  1. Personaliti (110 item), 
  2. Minat Kerjaya (60 item), 
  3. Nilai Integriti (70 item), 
  4. dan Kecerdasan Emosi (60 item).


Instrumen MEdSI telah dibangunkan untuk mengukur kualiti intrinsik calon guru dari segi Personaliti, Minat Kerjaya, Nilai Integriti, dan Kecerdasan Emosi. Maklumat yang diperoleh daripada pengukuran ini digunakan untuk memilih calon guru yang sesuai untuk kemasukan ke program pengajian pendidikan di IPTA.