Tema Hari Guru 2018: Guru Pemacu Transformasi Pendidikan

Selamat Hari Guru. Tahun 2018, Hari Guru 16 Mei jatuh pada hari Rabu, iaitu sehari sebelum Ramadan.  Tema Hari Guru pada tahun ini ialah GURU PEMACU TRANSFORMASI PENDIDIKAN.


Huraian Tema adalah seperti berikut:

GURU:
Guru merupakan individu penting serta berperanan sebagai pendidik yang mendorong, membimbing dan membentuk kemenjadian murid.

PEMACU:
Penggerak yang menggerakkan sesuatu usaha dengan lebih cepat dan berkesan dalam memastikan kejayaan dan pencapaian sasaran.

TRANSFORMASI:
Membawa maksud melakukan perubahan terhadap sifat, tingkah laku, pengetahuan, pandangan dan sebagainya kepada sesuatu yang lebih baik dan sempurna.

PENDIDIKAN:
Bermaksud perihal mendidik yang merujuk kepada proses atau aktiviti untuk membentuk manusia secara menyeluruh dan seimbang.



Tema Hari Guru ini dicadangkan untuk menunjukkan bahawa dalam menjayakan transformasi pendidikan negara dan menyahut cabaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, guru ialah agen penting dalam merealisasi transformasi melalui peringkat akar umbi pendidikan. Pada peringkat Gelombang 2 PPPM (2016-2020), guru perlu memainkan peranan sebagai pemacu dalam memastikan transformasi negara dapat dicapai dengan lebih cepat dan berkesan. Guru berperanan menterjemahkan semua dasar dan aspirasi negara melalui pendidikan.
Guru perlu menanamkan keinginan dan hasrat yang tinggi bagi memastikan setiap murid mempunyai pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional seperti yang dirangka dalam PPPM 2013-2025.

Dalam usaha menuju matlamat Transformasi Nasional 2050 (TN50), guru memainkan peranan yang penting dalam mendidik modal insan yang bakal menerajui negara ke arah menjadi negara maju yang sejahtera, berinovasi dan berdaya saing dalam pelbagai bidang di peringkat global.

Dalam konteks Malaysia, transformasi pendidikan mestilah bertunjangkan kepada hasrat melahirkan warga glokal iaitu warga yang berakar nasional dan berakal internasional. Justeru itu, guru perlu sentiasa bersedia untuk berubah, melaksanakan tugas daripada cara biasa kepada yang luar biasa, berdaya tahan, futuristik dan berfikiran aras tinggi serta world class thinking.



Flash back: Lawatan Unit Kimia KMK ke Jabatan Kimia di Alor Setar pada tahun 2016. 


sumber: laman web KPM.